untuk kajian...
1. Daging babi ditaruh di atas bekas, lalu dituangkan Coca Cola sampai terendam daging (daging babi di gambar adalah daging asal dari supermarket)
2. Biarkan selama 2 jam di suhu bilik
3. Anda akan melihat banyaknya cacing yang menggeliat-geliat muncul dari dalam daging babi itu.
Gambar satu lagi di bawah ini adalah yang lebih teperinci bekaitan cacing yang ade dalam daging babi, dengan menggunakan camera khas mengenai keadaan daging babi masak saat masuk ke dalam tubuh manusia.
PENEMUAN SAINTIFIK TENTANG BAHAYA BABI
Posted on Fri 02 Dec 2005 by MiraKimura (178 reads)
Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi.” (Surah Al-Baqarah ayat 173) Dengan dalil ini jelaslah kepada kita bahawa daging babi dan produk-produknya diharamkan oleh Allah secara mutlak ke atas umat Islam. Setiap perkara yang diharamkan Allah pasti mempunyai sebab dan rahsianya.
Penyakit Dan Jangkitan Daripada Babi
Daniel S. Shapiro, M.D., Pengarah Clinical Microbiology Laboratories, Boston Medical Center, Massachusetts dan juga merupakan Penolong Profesor Perubatan di Pathology and Laboratory Medicine, Boston University School of Medicine, Massachusetts, merumuskan terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh di jangkiti dari babi.243 Di antaranya ialah:
• Anthrax
• Ascaris suum
• Botulism
• Brucella suis
• Cryptosporidiosis
• Entamoeba polecki
• Erysipelothrix shusiopathiae
• Flavobacterium group IIb-like bacteria
• Influenza
• Leptospirosis
• Pasteurella aerogenes
• Pasteurella multocida
• Pigbel
• Rabies
• Salmonella cholerae-suis
• Salmonellosis
• Sarcosporidiosis
• Scabies
• Streptococcus dysgalactiae (group L)
• Streptococcus milleri
• Streptococcus suis type 2 (group R)
• Swine vesicular disease
• Taenia solium
• Trichinella spiralis
• Yersinia enterocolitica
• Yersinia pseudotuberculosis
Kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A.), Murry J. Cohen (M.D.), Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C. S.), Ray Greek (M.D.), dan Stephen R. Kaufman (M.D.) mendapati antara penyakit-penyakit ini ada yang boleh membawa maut, sebagai contoh leptospirosis. Ia boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
Babi Dan Pandangan Tokoh-Tokoh Perubatan China
Orang-orang Cina banyak membuat pengamatan dan kajian tentang babi dan sesetengah pandangan mereka dibukukan untuk pengetahuan umum. Sebagai contoh dalam sebuah Jurnal Kesihatan Cina yang amat terkenal suatu ketika dahulu iaitu Yan Show Tan disebutkan, “Di saat kematian, perasaan takut akan memasuki hati babi dan nafasnya yang terakhir memasuki hempedunya. Semua daging adalah berkhasiat melainkan daging babi. Jangan makan dagingnya.”
Di zaman Dinasti Tang terdapat seorang tabib yang amat terkenal bernama Sun See Mao. Beliau hidup sampai ke umur 100 tahun dan mengarang sebuah buku yang bertajuk Sheh Shen Lu (Catatan-Catatan Kesihatan). Di antara isi-isinya ialah, “Daging babi merangsang penyakit-penyakit lama, menyebabkan kemandulan, penyakit sakit tulang dan asma.”
Di zaman Dinasti Ming pula, terdapat seorang tabib yang bernama Lee Shih Ch’en. Beliau amat dihormati dan mengarang 50 jilid buku-buku perubatan atau Materia Medica dan berhubung daging babi beliau berkata, “Ia boleh mendatangkan kesan berbahaya.”
Secara umumnya tokoh-tokoh China zaman dahulu melarang seseorang memakan daging babi disebabkan pelbagai kemudaratan yang boleh menimpa ke atas manusia yang memakannya.
Virus-Virus Baru Keluaran Babi
Jangkitan kuman virus influenza pada tahun 1918 telah membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia. Ada yang menganggarkan mangsa-mangsanya yang sebenarnya berjumlah 40 juta orang. Mengikut beberapa kajian, kuman virus yang menyebabkan epidemik ini datang dari babi-babi di Amerika. Ia menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia I dan tentera-tentera ini kemudiannya membawa dan menyebabkan jangkitan di negara-negara lain. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan, punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi.
Alix Fano, pengarang buku Lethal Laws – Animal Testing, Human Health and Environmental Policy, merangkap Pengarah Medical Research Modernisation Committee mengesahkan, kuman-kuman virus dari babi mampu berubah dan menjadi lebih berbahaya (mutations) dari masa ke semasa. Pada bulan Mac, 1997, ahli-ahli sains Britain melaporkan penemuan kuman berbahaya retroviruses PERVS dari babi. Virus ini membiak di dalam tabung uji yang mempunyai sel-sel buah pinggang manusia dan ia merebak melalui cecair yang ada pada tubuh manusia dan ini menyebabkan ia mudah menjangkiti orang lain.
Pada bulan November, 1997, Dr. Robin Weiss dari Chester Beatty Laboratory, London mengesahkan kewujudan virus PERV di dalam babi. Penemuan ini menyebabkan Kerajaan British mengharamkan kesemua aktiviti pembedahan pemindahan alat / organ dari babi kepada manusia. Pada bulan Ogos 1997, pakar-pakar sains dari Australia menemui satu lagi virus baru yang menjangkiti babi sebelum menyerang manusia. Ia amat berbahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui sebelum ini dan dikenali sebagai virus menangle dari kumpulan paramyxovirus.
Secara umumnya, sejak tahun 1997, ahli-ahli sains menemui beberapa kuman virus keluaran babi yang boleh menjangkiti manusia. Kuman-kuman ini belum pernah ditemui sebelum ini, antaranya ialah,
• Porcine Torovirus.
• Porcine Rotavirus (Variant 4F).
• PRRS (Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus).
• H3N2 Swine Flu Virus.
Babi Mengubah Virus Ke Tahap Berbahaya
Dalam Journal of Virology 1997 dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin. Penemuan mereka jelas menunjukkan pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya. Pakar-pakar sains menganggap babi sebagai mixing vessel atau ‘tempat pelbagai kuman bertakung sebelum diubah ke bentuk yang berbahaya.’ Mengikut kajian itu juga virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang boleh menjangkiti dan membunuh manusia, selepas melalui perubahan di dalam babi. Penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selesema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ini. Ia bermula dengan serangan Spanish flu pada tahun 1918, diikuti dengan Asian flu pada tahun 1957, Hong Kong flu 1968 dan Russian flu pada tahun 1977. Kajian-kajian oleh ahli-ahli sains menunjukkan kuman-kuman pembunuh ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat, terutamanya wabak pada tahun 1918.
Tambahan dari itu, BBC News Online bertarikh 29 Oktober, 1999 melaporkan virus babi menjadi punca berlakunya wabak yang paling teruk dalam sejarah dunia moden pada tahun 1918. Ahli-ahli sains juga mendapati wabak yang menyerang Hong Kong baru-baru ini juga berkemungkinan besar berpunca dari virus babi.
Mengikut Dr. Virginia Hinshaw, Dekan di Graduate School Universiti Wisconsin-Madison, virus sentiasa berubah kepada bentuk yang lain dan babi merupakan satu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada bentuk yang lain itu. Yang membimbangkan ialah, sistem pertahanan manusia tidak mampu menangkis serangan dari virus-virus ini.
Tambahan dari itu, terdapat virus dari keluarga HIV yang wujud di dalam babi. Virus ini di bawa oleh DNAnya dan ia tidak boleh dipisahkan. Profesor Robin Weiss, seorang pakar dalam bidang virologi dari Institut Kajian Kanser, London berkata, ” Babi mempunyai banyak kuman virus. Salah satu masalah yang perlu kita hadapi ialah babi mempunyai kuman retrovirus yang boleh menjangkiti manusia. Ia tidak dapat dibuang dari babi kerana ia dibawa oleh benih DNAnya. Retrovirus ini adalah dari keluarga yang sama dengan kuman HIV.”
Babi Dengan Masalah Yang Berterusan
Sejak dari zaman dahulu lagi tokoh-tokoh tabib China dari Dinasti Tang dan Ming mengingatkan manusia tentang bahaya daging babi. Kemudian pada abad kedua puluh, terutamanya di sekitar tahun 50an, dunia dikejutkan dengan cacing trichina dari babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh membunuhnya ketika itu. Di Amerika, amaran terpaksa dikeluarkan tentang bahaya memakan daging babi, sebagai contoh, amaran yang dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard dalam Washington Post bertarikh 31 Mei 1952. Pada hari ini, masalah trichinusis telah dapat diatasi namun timbul pula kuman-kuman baru seperti virus flu yang lebih berbahaya yang boleh menyebabkan wabak yang membunuh di seluruh dunia. Apabila Allah mengharamkan sesuatu, ia pastinya suatu yang keji dan memudaratkan.
Note: (Diterbitkan dalam Majalah i bagi bulan Ogos, 2004, terbitan Karangkraf)
Nukilan,
Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan
Penulis bagi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan